Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Friday, December 30, 2011

Ros Kesumba Hari Mulia

.

Pertama kali menerima jambangan bunga adalah pada Mei 11, 2009; sehari awal daripada tarikh "Ist Anniversary" yang tercatat pada kad jambangan ros merah hati yang dikirim. Saya tidak pernah menyangka dia masih mengingat tarikh pertama kali temu kami pada Mei 12, 2008.

Lima bulan sebelum itu, dia mengirimkan sebatang pena berona emas dan sebotol dakwat biru laut sempena Ulangtahun Kelahiran saya ke-36 yang saya terima pada 28 Disember 2008, tiga hari sebelum tarikh ulangtahun keputerian saya pada Januari 1. Saya sangat gembira dan mendoakan agar dia sentiasa diganjari kebahagiaan kerana menggembirakan saya dengan sebatang pena. Malangnya, keesokan harinya saya diberitakan suatu khabar sedih, ibunya pulang ke sisi-Nya. Doa saya tidak dapat melawan takdir mubram. 
 
Hari ini, awal pagi saya dibisikkan ucapan "Selamat Hari Lahir". Saya hanya mampu ketawa kerana mengenangkan dia sering menitipkan sesuatu sebelum tarikhnya. Terasa seperti sedang berhadapan dengan seorang budak nakal yang suka mengusik dengan keletah yang mencuit rasa. 

Hampir tengahari, saya dipanggil ke lobi kerana ada kiriman buat saya. Terfikir saya, buku manakah yang saya pesan secara talian, rasanya tiada kerana saya mahu menghabiskan stok yang masih banyak belum dibaca. Saya turun selamba. 

Ah, dia masih bernakal dengan saya! Sedosen ros kesumba dalam gubahan indah mekar di jiwa saya. Rakan-rakan mengucapkan selamat hari lahir kepada saya, terus saya menyanggah, bukan hari ini! Dia memang suka memberikan keterujaan pada saya sebelum tarikhnya, sejak dulu. Ya, sejak dulu.

Kepada dia, terima kasih atas ingatan indah. Semoga saya mampu memberikan dia kebahagiaan sebagaimana kebahagiaan yang dirasa pada pagi ini, dan semoga deru kasihnya tiada henti sepanjang aliran usia.

Jalan Perdana, KL
.

Saturday, December 10, 2011

Hadapi Dengan Senyuman

.
Buat seorang teman, hadapilah dengan senyuman. Usah terpuruk bagai ingin mati.

Saya tahu dia sudah biasa dengar lagu ini, dan ada dalam koleksi blognya, namun saya segarkan ia semula, saat memerlukan. 

Saya mungkin gagah untuk menasihatkan dia untuk kali ini, tak semestinya saya juga gagah menghadapi suatu rasa, satu duga besar dalam melayari bahtera kehidupan. Semua kita impikan destinasi yang indah, bahagia dan hidup selamanya di samping teman jiwa, namun apabila itu yang ditintakan, pasrahlah kepada-Nya. Namun bukan semata menyerah, kerana muhasabah amat penting untuk memahami takdir. Takdir itu tidak pernah berbantah dengan usaha dan doa. Mungkin masih ada jejak kita yang pincang dan alpa pada Pencipta. 

Teruskanlah perjalanan, betulkan langkah yang pincang, jangan berhenti lagi mencabut kemuncup kenangan. Semoga segala yang berlaku adalah permulaan untuk sebuah kebahagiaan yang sedang menunggu!
 
.
Hadapi dengan senyuman,
semua yang terjadi, biar terjadi
Hadapi, dengan tenang jiwa,
semua, ‘kan baik baik saja

Bila ketetapan Tuhan,
sudah ditetapkan, tetaplah sudah
Tak ada, yang bisa merubah,
dan tak ‘kan, bisa berubah

Rela, kanlah saja ini,
bahwa semua, yang terbaik
Terbaik, untuk kita semua,
menyerahlah, untuk menang

Jalan Perdana, KL
.

Thursday, October 20, 2011

Pria di Jiwa

.
Pesan pada adindaku yang baru sahaja bergelar suami,
moga sentiasa di jiwa isteri.


MENJADI SUAMI YANG BAIK

1.              Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

2.             Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

3.          Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

4.            Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam.

5.            Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

6.          Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

7.            Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

8.            Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

9.             Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

10.         Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri.

11.         Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari ?

12.         Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

13.         Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

14.         Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

15.         Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

16.        Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

17.        Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

18.         Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

19.       Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

20.     Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuaratmenarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

21.       Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia. 

22.         Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka, endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.
.

Saturday, October 01, 2011

Rindu Ayah

.














 



(Mengenang pemergian ayahanda 
pada 26 Syawal 1432H/24 September 2011)

Hari ini cukup seminggu ayahanda pulang ke Rahmatullah.
Rasa bagai tidak percaya saya menulis sebaris ayat di atas.
Satu demi satu lelaki dalam hidup saya ke persisian Yang Abadi.

Sewaktu seorang rakan bertanya khabar saya petang ini, saya balas pesanan ringkasnya "saya macam biasa, cuma saya rindu ayah!"

Dia yang saya kenali di Hospital Sultanah Nur Zahirah sewaktu menjaga ayah dua minggu lalu membalas, "awak dah jaga dia dengan baik, saya tengok awak tak tidur pun". Saya jawab lagi "namanya pun jaga orang sakit, kalau nak tidur buat apa jaga."

Saya kasihan padanya, katanya dia terpaksa ke hospital semula kerana abang kepada majikannya terpaksa dimasukkan ke wad semula, bermakna dia akan melalui malam-malam yang kami lalui bersama sebelum ini.  Sebagai lelaki sulung dalam keluarga, banyak tugasan yang harus dipikulnya, dan tugas di hospital menambahkan lagi beban di pundaknya.

Kami sama-sama tidak dapat tidur, mahu bercakap pula saling tidak mengenali, hanya sesekali dia ke katil ayahanda setiap kali mendengar rintihan ayahanda, dan setiap kali saya mengamanahkan dia menjenguk-jenguk ayahanda setiap kali saya terpaksa ke bilik air mencurah air seni ayahanda.

Pesanan ringkasnya hari ini mengembalikan semula kenangan sewaktu di Katil 26, Wad 7EF HSNZ. Di situlah saya rasa sangat kecil di depan Tuhan, sangat memerlukan Rahim-Nya, dan sangat dekat dengan ayahanda. Saya belai ayahanda bagaikan bayi, dan berpeluang memeluk ayahanda yang sentiasa baring.

Dan saya tidak tega membayangkan kesakitan ayahanda sewaktu dimasukkan tiub saluran ubat ke dalam ususnya melalui hidung. Dan sewaktu doktor mennyuntik lengan kering ayahanda. Saya tiada daya menghilangkan kesakitan itu, hanya memohon dari-Nya agar meringankan kesakitan itu, dan memegang jemari ayahanda sambil memujuknya.

"Ayah 'kan gagah.
Ayah tak sakit bila mata cangkul jatuh atas kaki ayah, dan berdarah, kan?
Ayah tak sakit bila jatuh ke dalam sungai dengan basikal dan semua orang ingat kepala ayah yang putus, kan?"

Ayah mengangguk perlahan, bagaikan anak kecil yang mendengar pesan. Sewaktu doktor menarik jarum, ayah sedikit terkejut dan tersedar. Saya cepat-cepat berkata "dah siap pun, kan dah kata ayah gagah".

Saya sentiasa ingin mengenang ayah sebagai lelaki yang gagah dan tabah,
Saya sentiasa ingin bernaung di bawah rimbun dan redup kasih sayang ayah,
kerana itulah ayah.

Persinggahan Satu
Jalan Perdana
.

Friday, August 12, 2011

Ulangtahun Blog, Bulan Persahabatan, Ramadhan Kareem.

.
Satu

08.08.2011 cukup lima tahun usia blog ini. Blog ini sahabat jiwa (soul mate) saya, yang mengerti keluh-kesah, pilu menghiris, rindu tak bertepi, bahagia tak terkata, dan sebahagian besar warna-warni cerita hidup saya.

Kali pertama menulis di ruang maya ini pada 08.08.06. Empat entri saya hantar sekaligus pada hari yang sama. Satu untuk mengucap salam keputerian buat diri sendiri, dua entri menyatakan rasa tak tentu hala dengan apa yang dialami, dan satu catatan kecil tentang penulisan.

Ruang ini adalah tempat saya melepas lelah, mencurah rasa, mengelus jiwa - lara atau bahagia, lari seketika daripada rutin yang kurang menguja. Ruang ini tempat saya bermanja dan mengadu, lebih-lebih lagi tatkala saya fikir ia lebih mengerti berbanding manusia.

Akhir-akhir ini saya sering terfikir, seandainya saya pergi, siapalah yang akan menjenguk dan sudi menjaganya. Saya sering marah pada diri yang alpa, kenapa selalu lupa membeli sebuah diari berkunci untuk ditulis kata kunci kepada blog ini agar suatu masa setelah saya pergi, ada insan yang boleh membuka dan memberi maya kepada rumah saya ini.


 Dua

Ogos juga merupakan bulan persahabatan. Tidak pernah lupa saya pada bulan ini, bulan yang menemukan saya dengan sahabat jiwa nyata. Setelah berjauhan dengannya, baharu saya sedari, diri ini amatlah dhaif jiwa dan miskin rasa, faqir cinta. Setelah menemui cermin diri, saya semakin menghargai dia. Saya ingin dia tahu, jarak tidak pernah menjauhkan kasih sayang saya kepadanya. Dia yang sentiasa menyuburkan pohon-pohon kasih dan rasa dalam jiwa saya.  Seharusnya sewaktu masih bersamanya, saya mengerti dan menghayati bicara Kahlil Gibran -

Teman sejati, 
Mengerti ketika kamu berkata 
"aku lupa".
Menunggu selamanya ketika kamu berkata
"tunggu sebentar ”.
Tetap tinggal ketika kamu berkata
"tinggalkan aku sendiri".
Membuka pintu meski kamu belum mengetuk dan belum berkata
"bolehkah saya masuk ?".

Namun saya tidak melakukan semua itu kepada seorang sahabat setia, yang mengorbankan seluruh rasa dan jiwa untuk saya. In, Salam Persahabatan Ke-15. Semoga hidup matimu diredhai dan diberkati Ilahi. Maaf dari seluruh anggota dan daripada hati yang paling dalam.


Tiga 

Ramadhan 1, bersamaan Ogos 1; tahun pertama berpuasa sebagai seorang pekerja. Memujuk diri supaya menghayati puasa dan menghadam makna kerana kemuliaannya, bukan kerana menunaikannya di tempat mana. 

Ramadhan 5, suatu ujian ngeri yang tak pernah terduga, suatu kekhilafan yang saya rasakan sebagai kiamat dunia. Tak sebagaimana biasa, akhir Ramadhan dan menjelang Syawal yang sering membentangkan persimpangan buat saya, Ramadhan ini melepaskan langkisau duga terlalu awal. 

Ada kealpaan yang perlu saya sedarkan, ada kelekaan yang perlu saya hidupkan dan ada kelalaian yang perlu saya jauhkan. Tentu Tuhan  sedang murka!

Tuhan, semoga Ramadhan ini tiada derita pada pengakhirannya. Semoga dapat menyambut Syawal dengan secebis bahagia.


TV AlHijrah,
Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana

.

Saturday, July 23, 2011

Kembara Kita

.
 














Dalam bingkai malam
kala rembulan senyum dicandai bintang
aku terus berdoa semoga ada kita
di hujung jalan sana.

Aku sering menggagahkan diri
mengumpul embun menyirami taman kita,
selalu pula berharap ada engkau
membangunkan mentari
bangkit dari peraduannya
tatkala tengkujuh melanda.

Pun jika suatu masa
tiada lagi kita di depan sana
tak akan pernah aku lupa
tiket-tiket perjalanan kita
dan kematu di telapak kaki
sepanjang kembara bersama.

Kompleks Pusat Islam 
.

Saturday, July 16, 2011

Impian Seorang Nelayan (Kembara)


Lagu ini saya dengar sewaktu 80-an. Setiap kali mendengarnya, pasti ada genang di kelopak mata. Dan setiap kali berpeluang ke pantai, saya sering memandang laut lepas, seolah terlihat sebuah biduk teroleng-oleng di tengah segara.

Saya sungguh kagum pada isteri nelayan, yang sabar dan selalu tawakkal menunggu suami pulang. Setiap hari penuh debar dan pasrah. Adakah hari itu detik terakhir menatap mata suami tercinta? Sungguh saya tidak sanggup bersuamikan seorang nelayan, kecuali saya diizinkan turut bersamanya di tengah laut!




Burung camar hinggap di jejari
seorang nelayan sedang bermimpi
mimpi tentang duyung, mimpi tentang untung
biduk hanyut dibawa ombak Laut China Selatan.


Dalam mimpi berkata sang duyung
wahai nelayan kau anak laut
di sini tempatmu, di sini rezekimu
pengorbanan yang kau lakukan ada balasannya.


Mega mendung, laut pun bergoncang
nelayan tersentak biduk sesat haluan
sang mentari terlindung, pantai tak kelihatan
Tawakkal jalan akhirnya.


Dalam pondok kecil beratap rumbia
seorang ibu memandang hari muka
sambil ia menyusukan bayi yang kehausan
ufuk timur hilang dari pandangan.


Wahai anak yang sedang menangis
mungkin kini engkau tak mengerti
bila kau dewasa dan pandai nanti
pengorbanan ayahmu sayang jangan kau lupakan.

Kompleks Pusat Islam
.

Friday, July 01, 2011

Ia Tidak Pernah Berahsia Padaku

.
Seringkali rasa ingin damai di sini, melepas lelah dari kepenatan fizikal, kelelahan minda dan nyeri jiwa. Tatkala rasa kosong, sepi dan tidak punya sesiapa.

Akrab dengan alam, biarpun sekeping gambar; lebih baik daripada berbicara dengan manusia yang selalunya punya kepentingan diri yang perlu diutamakan. Yang lembut bila mengharap, dan kasar setelah tidak memerlukan.  

Benar, pohon tidak pernah berbohong tentang sedih dan riangnya.
.

Saturday, June 04, 2011

Hujan Bulan Juni

.










Tak ada yang lebih tabah
dari hujan bulan juni
dirahasiakannya rintik rindunya
kepada pohon berbunga itu

Tak ada yang lebih bijak
dari hujan bulan juni
dihapusnya jejak-jejak kakinya
yang ragu-ragu di jalan itu

Tak ada yang lebih arif
dari hujan bulan juni
dibiarkannya yang tak terucapkan
diserap akar pohon bunga itu

(Sapardi Djoko Damono)
.

Makna Cinta



















Cintaku padamu adalah wijil
aku keluar dan masuk setiap waktu melaluinya
selagi menghuni teratak setia.

Cintamu padaku adalah helaian naskhah
terkurung dalam almari atau di meja
hanya dibelek sesuai waktunya.

TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam
.

Sunday, April 24, 2011

Home Alone dan Kelip-Kelip Ku Sangka Api

.
Takkala sepi sendirian, lagu ini teman yang menceriakan. 

Tiada apa kaitan dengan filem Home Alone. Cuma saya masih ingat bagaimana kanak-kanak yang sedang ketakutan dalam filem tersebut. Saya rasa dia lebih berani berbanding saya. Aduhai!



Tiap hari melintas di sini
Kuharapkan dapat memandang mu
Sayangnya engkau persis tak peduli
Akulah seorang merindu

Jeling jeling kau tidak berpaling
Senyum diberi tiada balasan
Sikapmu sayang membuatku rungsing
Ku turut hati merana badan

Berakit berakitlah ke hulu
Berenang renang ku ketepian
Bersakit biarku sakit dahulu
Bersenang denganmu kemudian

Kelip kelip ku sangkakan api
Sinar mentari membawa cahaya
Kau hilang ghaib sangkaku kau benci
Kiranya sengaja nak menduga

Pinggiran Putrajaya
.

Monday, March 14, 2011

Maafkanlah bila hati...

.


Detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa
tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup

Meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertakhta

Detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu.
.

Tuesday, March 01, 2011

Menunggu Tamu Benua Keling

 .
Dalam kehangatan berita tentang penderhakaan puak-puak Hindraf terhadap kerajaan, ada paradoks yang amat sayugia diteliti dan difikirkan. 

Menurut laporan berita muka depan Berita Harian semalam, kerajaan meluluskan kemasukan 45,000 pekerja asing, kebanyakan dari India bagi memenuhi 13 sektor di negara ini termasuk pembinaan, perladangan, restoran dan perniagaan runcit.

Saya sangat berharap tiada jemputan India yang datang, kerana bimbang mereka akan menyesal setelah sampai di sini. Maklumlah, mulut pribumi di Tanah Melayu ini banyak yang celupar, jahat dan penuh sinis. Rakyat Tanah Melayu pula tidak pandai menghargai tetamu, apatah lagi membiarkan mereka berjaya sehingga menjadi billionair dunia. 

Risau juga memikirkan rasa dukacita keluarga mereka yang ditinggalkan di India. Mereka akan fikir macam-macam tentang suami atau isteri mereka, sebagaimana resah dan gelisah pasangan yang menunggu suami atau isteri yang diutus ke Mesir atau Libya untuk membuat liputan demonstrasi dan reformasi di sana.

Harap-harap yang datang itu golongan bukan paria, supaya mereka tidak dihina caci di bumi Tanah Melayu berdaulat ini. Manakan tidak, bimbang juga sanak saudara mereka di sana nanti tidak lena tidur memikirkan nasib keluarga mereka di sini. 

Mungkin mereka didera dengan cara dipotong lidah, dan dipotong jari kaki ala-ala Kunta Kinte supaya tidak dapat melarikan diri untuk pulang ke Benua Keling.

Eloklah kerajaan memberi taklimat terlebih dahulu kepada keluarga mereka yang terlibat akan kemungkinan yang bakal saudara mereka hadapi setelah berada di Tanah Melayu nanti agar mereka bersedia dengan segala kemungkinan khabar berita yang bakal diterima. 
 
Bolehlah mereka memutuskan untuk berhijrah menolong Tanah Melayu yang sedang kritikal kerana kekurangan pekerja; atau terus saja diam di negara mereka yang sangat makmur, subur dan kaya raya!

.

Monday, February 21, 2011

Bebas Jiwa

 
Titip seorang teman,

"Jangan sumbat jiwamu ke dalam botol 
dan dicampak ke laut,
tapi bebaslah seperti burung
terbang di awan.
Jadilah manusia yang berada di antara 
langit dan bumi."

Terima kasih kerana memberi sayap,
ketika kaki tak mampu menapak.

November 9, 2011
.

Friday, February 18, 2011

Puisi Rama-Rama

.
Only those who are not in love see their own reflection.



The people of this world are like the three butterflies
in front of a candle's flame.

The first one went closer and said:
I know about love.

The second one touched the flame
lightly with his wings and said:
I know how love's fire can burn.

The third one threw himself into the heart of the flame
and was consumed. 
He alone knows what true love is.

- Rumi 
.