Untuk menghubungi saya, atau memberi dan menerima maklumbalas secara peribadi, sila capai 013-3544889, atau emelkan ke rozaisalanamy@gmail.com, atau temui saya di http://www.facebook.com/rozais.alanamy

Selain capaian di atas, yang menggunakan nama dan kutipan daripada saya adalah tidak relevan dan tidak ada kena mengena dengan pendapat dan pendirian saya.
__________________________________________________________________

Saturday, January 31, 2009

My Dear Trouble Maker

.
My dear trouble maker
I'm not ur trouble shooter anymore
coz I was shot dead today
and I'm in six feet underground now.

Noble Art Creation
Januari 31, 2009 (petang: 500)

Thursday, January 29, 2009

Di Dada Sepi Yang Telanjang

.

(menyambut kehadiran zuraidaiman)

Mimpi lancang dinihari semalam
melekap masih di dada sepi yang telanjang
dan aku masih termangu di ranjang
menggapai puisi-puisi indah
menyelit pada dingin embun kerinduan
yang hampir sirna oleh sinar mentari
setelah mengusir bulan kesiangan.
Dan kupandang mimpi pergi
ke dalam bulir-bulir kenangan
mengapung di ruang kewahaman
pecah di keras batu kepura-puraan.

Noble Art Creation
Januari 29, 2009 (petang: 4.59)
.

Tuesday, January 27, 2009

Buku, Asyura dan Sehidangan Kenangan

.

Hari ini saya mula membaca kembali selepas beberapa purnama tidak membelek buku. Saya banyak berhutang dengan minda, setelah sekian lama memperuntukkan masa kepada jiwa.

.

Beberapa bulan lalu, saya menumpukan masa memperbaiki bahasa, kerana saya fikir saya perlu berbuat sesuatu atas teguran dan kritikan sebilangan besar rakan penulis. Mereka berpendapat karya saya kontang emosi dan bahasa saya terlalu polos, dan hal ini akan menjejaskan nilai estetika karya. Kata mereka lagi, sesuatu karya berat hendaklah diseimbangkan dengan langgam bahasa yang menarik supaya pembaca tidak berasa seolah-olah dipikulkan beban di pundak sambil mendaki bukit.


Saya sangat-sangat rindu untuk mencapai novel buat permulaan, tetapi apabila melihat deretan hutang yang belum langsai, saya pujuk diri untuk menerima buku ilmiah. Kalau nanti Blue Ocean Strategy, Marketing 101 dan Fadhilat Amal meminta hutang mereka yang tertangguh, apa alasan harus saya beri? Saya renung, dan renung lagi barisan buku yang sengaja saya kuarantinkan dalam kamar tulis. Saya mahu memujuk hati, hanya itulah baki buku yang belum habis saya baca – sedangkan dalam kamar satu lagi, berderet buku menunggu giliran. Aduh!




Antara ketiga-tiga buku tersebut, terselit Ratib 1000 Syair, Kamus Dewan Edisi Tiga, Sentuhan Midas, Salahuddin Penakluk Jerusalem dan beberapa buah diari. Nasib baik Ratib setebal hampir dua inci, hadiah seorang teman telah khatam dibaca, dan Kamus Dewan pula bertahun dulu, telah saya selak dari awal hingga kulitnya.

.

Akhirnya, saya pilih Sentuhan Midas yang tebalnya hampir seinci. Baru sahaja dua muka surat saya selak, perut pula berkeroncong. Kalau novel yang sedang dibaca, sudah tentu saya biarkan sahaja perut bernyanyi, tak kiralah heavy metal sekalipun, saya tetap akan habiskan bacaan dahulu. Sebagaimana saya mengkhatami The Missing Piece karya Fatimah Busu, bermula Isya’ santak ke Subuh. Tetapi, Sentuhan Midas perlukan penelitian mendalam, apatah lagi ia adalah bahan untuk karya yang bakal saya hasilkan nanti. Nampaknya saya terpaksa mengalah kepada tuntutan perut.

.

Nasib baik dalam peti masih ada bubur asyura pemberian Cik malam tadi, yang sudah berubah wajahnya. Kalau malam tadi saya dijamu bubur yang masih panas dan agak cair, hari ini bubur bertukar jadi kuih. Sambil makan, saya menyambung bacaan. Namun sempat lagi fikiran merayau ke masa silam.

.

Terimbau kenangan zaman kanak-kanak, gotong-royong penduduk kampung memasak bubur asyura mengisi benak. Kami awal-awal lagi menyediakan tempurung kelapa yang dikikis dengan “pisau mesin” (pisau sepuluh sen) supaya tempurung kepala jadi licin berkilat, dan menunggu di tepi kawah-kawah berisi campuran beras, daging, ayam, ubi, rempah asyura dan pelbagai rempah ratus lain. Tidak kami hiraukan pekikan orang tua yang menyuruh kami menjauhkan diri daripada kawah dan puntung kayu api yang sedang membara. Kami sering diugut oleh ibu-ibu kami, “nanti kalau jatuh dalam kawah, boleh jadi rencah. Macam budak kampung sebelah.”

.

Sebaik sahaja bubur masak, kami berebut tadah tempurung. Macam kanak-kanak Afrika mengerumuni khemah bantuan makanan. Saya selalu mendahului, kerana hanya saya perempuan di kalangan rakan. Dengan alasan “tengok muka aku ni, merah padam oleh bahang api. Macam udang kena panggang.”

.

Dan kalau permintaan saya tidak dilayan, saya akan menyambung, “tempurung aku punya paling licin, jadi kiranya akulah pemenang.” Nasib baik alasan itu diterima mereka, kerana sememangnya sewaktu menunggu bubur asyura menggelegak, kami turut mengatur pertandingan tempurung terlicin dan sudu paling cantik (diperbuat daripada daun palas atau takikan kulit kelapa muda). Dan selalunya saya pemenang untuk kategori itu.

.

Kami dan penduduk kampung akan menikmati bubur asyura dalam tempurung dengan riuh ketawa dan gurauan sesama. Tidak ada yang menggunakan pinggan mangkuk kaca, hanya tempurung itulah saja. Acara makan bubur asyura dalam tempurung sambil tercokoh di tepi kawah sebaik ia masak sudah jadi budaya kampung kami. Seperti acara memijak anggur tuaian pertama dalam cerita A Walk In The Clouds.



Usai acara tersebut, barulah bubur tersebut diisi ke dalam talam dan bekas untuk dibawa pulang oleh penduduk kampung. Kami pun mula beredar dengan talam berisi bubur, yang akan membeku petang nanti, dan bertukar menjadi kuih.

.

Kenangan waktu kecil masih segar dalam benak saya. Insiden “tempurung bersabut” dalam acara makan bubur yang masih tidak boleh saya lupakan hingga kini ialah sewaktu kami sedang asyik menikmati bubur, seorang pakcik yang kurang waras ketawa berdekah-dekah. Penduduk kampung terkejut oleh ketawanya yang lantang dan bertanya kepadanya.

.

Dalam ketawa yang masih berbaki, pakcik “tiga suku” tersebut bertanya kepada kami, “tempurung siapa paling licin?” Masing-masing tilik tempurung sendiri, dan mengaku milik masing-masing paling licin dikikis.

.

Seorang makcik yang paling hampir dengan pakcik tiga suku, tercokoh di tepi kawah angkat tangan. “Aku punya paling licin”, dakwanya.

.

Makcik yang pada tahun-tahun sudah sentiasa memilih tempat di sisi kawah, jauh dari kaum ibu yang agak sopan bertenggek di batang kelapa tumbang, yang sanggup duduk tercokoh tepi kawah supaya senang mahu tambah bubur - menjadi subjek tumpuan kami.

.

“Allah Tuhan Kaya!” Mata kami terbeliak. Ada kaum ibu yang menutup mata suami dan anak mereka dengan telapak tangan.


Pakcik tiga suku makin bergema ketawanya.

.

“Engkau punya paling bersabut!” Sambil menghala telunjuknya ke arah kain makcik tadi yang telah terburai.

.

Menjejak kaki ke universiti, acara memasak bubur asyura masih lagi dapat dinikmati. Cuma setiap kali Muharram tiba, mulalah warga universiti pelbagai negeri tidak habis-habis memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut bubur asyura. Biasanya warga terbahagi dua; penyokong resepi asyura hitam berempah dari Pantai Timur dan penyokong asyura bubur manis kuning dari utara. Dua resepi yang amat berbeza. Kami seolah-olah terbahagi kepada pengikut Sunni dan Syi’i, dengan barisan kitab hujah sendiri. Tiada kompromi!

.

Seperti cerita Datuk A. Kadir Jasin dalam entrinya hari ini, orang Terengganu dan utara memang ada saja bezanya.

.
Orang Terengganu dengan orang Kedah memang “tak boleh setuju”. Di Kedah, banyak perkataan yang berakhir dengan “ng” disudahi dengan “n” sahaja. Maka kucing jadi kucin, pening jadi penin dan kuning jadi kunin.

Sebaliknya di Terengganu, banyak perkataan berakhir dengan “n” disudahi dengan “ng”. Maka makan jadi makang, ikan jadi ikang dan jalan jadi jalang.

Saya ada satu penjelasan saja. Zaman dulu kala orang Terengganu langgar Kedah dan rampas huruf “g” dan bawa balik ke Terengganu. Sebab itulah Kedah kurang “g” dan Terengganu lebih “g”.

.
Akhir sekali, pihak kolej akan putuskan, masak kedua-dua resepi! Dan apabila bubur masak, ternyata bubur Pantai Timur selalu habis dahulu, dan bubur manis kuning sentiasa bersisa.

.

Nah, apa komen orang utara?

.

Padang Embun

Januari 27, 2009 (petang: 5.46)

.

Kerinduan

.
Kerinduan
adalah kemuncup kesepian
yang terkait di kain kenangan
sewaktu melintasi padang percintaan.

Kamar Rindu
Januari 27, 2009 (pagi: 7.00)
.

Monday, January 26, 2009

Ke Persisian Abadi

.
(Dedikasi buat SN Arenawati)

Angin pun tersedu
dan sukma jadi pilu
mengenang seorang berjiwa seni
telah kembali ke negeri abadi.

Peluit bahteranya akan singgah jua
ke gegendang kita
suatu hari nanti.

Izinkanlah dia pergi
menemui kekasih abadi.

Padang Embun Januari 25, 2009
.

Sunday, January 25, 2009

Seni, Kata, Nama dan Jiwa

.
Bertanya aku kepada seorang marhaen puisi
tentang sebuah keindahan seni dan aksara
"Ia seperti dadu.
lima dimensi yang nyata
dan satu tersembunyi
pada papan meja."

Bertanya aku kepada seorang korporat seni
tentang sewajarnya sehidangan puisi
menjadi santapan manusiawi
"Seni itu, bukan pada kata,
tapi pada nama.
bbbbbbbbbbbbbbbbbbbbb
oooooooooooooooooooooooo
ddddddddddddddddddddd
oooooooooooooooooooooooo
hhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!"

Kutanya diri sendiri
"Seni itu
bukan pada aksara
tapi pada jiwa."

Kamar Minda
Januari 25, 2009 (pagi: 600)

.

Cinta Sebatang Pena

.
Pasangan bercinta
umpama sebatang pena
matanya perlukan penutup
supaya tidak terluka
andai terjatuh tidak ternganga
seperti muncung buaya.

Dan saat ingin melakar aksara dan angka
penutup perlu berpisah seketika
dari batang penanya.

Kamar Minda
25 Januari, 2009 (pagi: 5.00)
.

Sayap Cinta

.
Suatu ketika dahulu
kita berbicara tentang cinta
yang memberikan sepasang sayap.
.

Bersama terbang di langit kasih
senada memagut kerlip kejora
seirama bercanda di sinar purnama.
.
.
Dan sesekali terserempak garuda
melayah kita bersama.
.
.Kamar Rindu
Januari 25, 2009 (pagi: 4.30)
.

Pasu Cinta

.
Waktu begini
seminggu yang lalu
kurenung mata bonda
kucari penawar luka
dari pancaran matanya
kutemui segalur sinar
penyembuh lara derita ayahanda.

Madah bonda
jiwa dan raga senada seirama berlagu
dan matlamat mestilah bersatu
pasti pasu cintamu tinggi mutu
takkan rapuh oleh putaran waktu
takkan retak oleh panasnya cemburu.

Kata dia,
kerinduan adalah kunci pintu kalbu kanda

semoga dinda selamat bertamu
mengukur kedalaman luka lalu

bersama menggurindamkan lagu jiwa.


Padang Embun
Januari 24, 2009 (petang gerimis: 5.45)
.

Friday, January 23, 2009

Adiratna Jiwa

.
Waktu begini
seminggu yang lalu
kutanya ayahanda
tentang ceritera rodat
yang kehilangan inangnya.

"Inang rodat sirna
saat bulan gerhana
inang ayahanda
bertakhta di jiwa."
Bonda di beranda tergelak manja.

Inang rodat cerita luka
jadilah anakanda adiratna jiwa
suri pria tulus pengagung cinta.

Padang Embun
Januari 23, 2009 (petang: 5.00)

Dara dan Sekeping Hati Tertusuk Belati

.
Seorang dara ke balai polis, membuat laporan tentang suatu kehilangan. Ditulis dalam laporan tersebut:

Pada 23 Januari 2009, pagi: 12.24 - seorang pria telah merentap hati saya dan membawanya pergi.
Polis yang bertugas menanya si dara – Awak kenal dia?
Ya, saya kenal dia – jawab si dara.

Polis bertugas pun berkata – Apabila pihak kami mengesan lelaki tersebut, nanti saya hubungi awak dan kembalikan hati awak itu, ya!

Tak perlu – cepat si dara membalas.

Kenapa, polis bertanya dengan wajah kehairanan. Bukankah awak mahu hati awak semula, sebab itu awak datang buat laporan kehilangan? Ada nada tegang dalam suaranya.

Cukup tuan pinta dia ucap depan tuan - bahawa dia minta izin dari saya untuk sesuatu yang tak ternilai diambilnya daripada saya secara paksa; itupun jika tuan dapat mengesannya – ujar si dara.

Habis, awak tidak mahu hati awak kembali?

Saya telah berjanji suatu ketika dahulu untuk menyerahkan hati saya pada dia; dan saya telahpun memberikan hati saya padanya!

Ah, habis kenapa awak buat laporan kehilangan ini pula? Jegil si polis.

Sebab dia merentapnya dari saya!

Macamana awak boleh kata dia merentapnya dari awak, sedangkan hati itu telah dimilikinya. Awak juga yang rela berikan pada dia! – Polis mula kelihatan naik angin.

Dia sedikit pelupa dan alpa, selalu cicirkan hati saya merata-rata, seringkalinya terhempas ke batu, dan akhir-akhir ini, ditusuknya belati; kemudian saya kutip kembali, ubati lukanya dan cantumkan cebisan hati saya. Tempatkan kembali ke dalam dada saya.
.
Macamana awak boleh tuduh dia pelupa?
.
Ini buktinya - si dara menghulur sekeping nota berdakwat biru laut kepada polis tersebut:

Siapakah di antara kita
dengan rela menjadi pendusta
siapakah dulu membina harapan
dan siapa yang memusnahkan impian

Dia tulis ini kepada awak?
.
Tulisan itu saya punya. Saya menyalinnya kembali dari mimpi saya semalam.

Si dara pun berlalu, meninggalkan polis dengan mulut ternganga.

Semenjak hari dia ke balai polis, si dara melalui hari-hari sepi tanpa sekeping hati. Setiap kali malam menjelma, dia hanya mampu merenung bulan sambil mendendangkan baris-baris lagu yang menjadi teman.

Dengarlah bisikan hasrat hati
yang merindu menjelma kembali
ingatanku tetap bersemadi
walaupun kau kini telah mungkir janji.

Kekallah si dara dengan keadaan itu selama waktu yang belum pasti. Dia menunggu laporan dari balai polis, dalam keributan kes-kes jenayah yang banyak belum usai; menunggu sebaris ayat pohon keizinan dari pria yang di mana sembunyinya.

Tuesday, January 20, 2009

Adam, Akulah Hawa

(Raya Cina nanti, ramai yang bakal melangsungkan perkahwinan.
Kepada yang jauh di mata,
puisi ini wakil diri saya sempena hari gembira kalian)

Adam,
akulah hawa yang terhutang anggota
bukannya kacang lupakan kulitnya
usah kauragu jiwaku
takkan kupersiakan pengorbananmu.

Andai tiba emosi terluka
sifir kebijaksanaanmu diguna pakai
jika keras patahlah ia
andai rapuh bengkoklah jiwa.

Adam,
akulah hawa pernah terleka
merayu kasihmu menduga cinta
tak terteka hasrat durjana
terusir kita daripada syurga-Nya.

Andai aku teruji lagi
pertahankan ketuananmu atas jasadku
rela kumenjadi Atiqah
kasihkan Ilahi sanggup terpisah.

Adam,
akulah hawa penuh cita-cita
menjadi sinar penerang zaman
kasih Khadijah jadi pedoman
cinta Aisyah penghibur beriman.

ROZAIS AL-ANAMY
Noble Art Creation
Januari 30, 2001

Jelita, April 2001 .

Semalam Ku Bermimpi

.
Apabila rindu membara, atau ada resah yang mendekam dalam kalbu, atau ada ketidakpuasan jiwa pada siangnya; pasti kala dinihari segugus rasa itu menjelma jadi mimpi-mimpi, menyelinap lena saya. Semalam, rindu memerah baranya, ditiup angin resah yang mengirim sejumlah kenangan.

Namun kali ini mimpi pun berani engkar; dan kali ini saya syukur dengan keengkaran itu. Saya tidak perlu minta maaf pada seseorang atas kelancangan mimpi saya.

Malam tadi saya mimpi Nisah Haron. Saya ke tempatnya untuk berbengkel cerpen. Di sebuah rimba cemara, di sebuah ran terbina daripada kulit-kulit kayu. Mungkin latar zaman kecil saya terserap sedikit ke dalam mimpi tersebut. Zaman kanak-kanak yang banyak dihabiskan dalam dakapan alam; ran dan pohon-pohon adalah kemanisan hidup saya. Mimpi ini benar-benar buat saya rindu pada zaman kanak-kanak; memiliki ran sendiri di atas sebatang pohon manggis yang cukup untuk mengisi jasad berdua, dan menjengah bonda di bawah yang sedang kalut mencari saya.

Mimpi malam tadi bercampur baur. Tetapi yang paling saya ingat ialah tatkala saya menyuarakan sesuatu yang telah lama terbuku, teguran yang saya timbang-timbangkan selama ini, bimbang ia mengguris hati seseorang. Usai berbengkel, Nisah beri peluang kepada saya untuk menyuarakan tentang apa sahaja seputar dunia penulisan.

Saya cepat-cepat mengambil peluang, kerana bagi saya, Nisah memiliki lidah yang paling lancar dan tepat untuk menjelmakan aksara atau keluhan jiwa kepada luahan berbentuk curahan kalam. Saya ingin rebut peluang itu kali ini, meluahkan apa yang terbuku beberapa tahun lalu.

Nis, saya harap awak tolong betulkan pengunaan perkataan "metah" dalam tulisan karya penulis muda. Maksud saya dalam golongan penulis muda sekarang, "metah" seolah-olah jadi trade mark dalam karya mereka; oleh kerana keinginan untuk mencari kelainan dalam memilih bahasa segar. "Metah" yang dimaklumkan kepada mereka membawa maksud amat, sangat, terlalu, sangat-sangat, dan serangkaian perkataan klise lain yang dicadangkan kepada mereka untuk ditukarkan dengan perkataan "metah" supaya ada kelainan.

Kenapa dengan "metah", seingat saya awak pun pernah guna perkataan "metah" dalam karya awal awak?

Benar sekali, Nis. Kerana itulah saya tidak mahu penyalahgunaan perkataan itu terus berlaku. maksud saya ia digunakan pada tempat yang salah. Saya menyedarinya pada suatu hari sewaktu saya mengemas pakaian dan mengasingkan baju-baju lama untuk dibakar. Terimbau zaman remaja di mana saya diugut bonda kerana membakar pakaian lama yang sudah tidak boleh diguna. "Baju baru metah lagi dah dibakar, nantilah kau suatu hari nanti. Mana tahu kalau terjadi apa-apa bencana, kebakaran atau banjir, padan muka kau, telanjang bogel." Pantang sungguh bagi bonda saya melihat saya bakar baju lama. Itu-itulah juga diugutnya, sampai sekarang.

Ya, Nis. Baju baru metah - bukan baju metah baru. Sebagaimana dalam Kamus Dewan Edisi Tiga, "metah" maknanya sangat, sungguh; contohnya - baru metah (baru sangat), putih metah (putih benar). Namun jika diteliti dalam karya segolongan penulis muda, "metah" ini ditaip terkedahulu daripada kata sifat atau perasaan, sebagai contoh; metah baru, metah gembira dan seumpamanya. Penggunaan perkataan "metah" itu tidak nampak salahnya, namun pada pengertian dan tujuannya ia salah penggunaan. "Metah" ialah pentaukidan pada akhir, sepatutnya. Itulah yang saya faham mengikut penggunaannya dalam ayat, sebagaimana yang lazim kami di bumi Pantai Timur ini memahaminya.

Nis, tolong ya. Sampaikan dalam bengkel awak yang seterusnya. Dengan lidah hikmah. Saya yakin awaklah orang yang paling tepat untuk menyampaikannya.

Nisah senyum. Senyum yang mempamerkan angguk. Saya minta diri untuk pulang. Pundak saya ringan, jiwa saya tenang.

Saya menapak meninggalkan hutan cemara, melambai-lambai ke arah Nisah dan Mustaqimnya. Dalam asyik, saya terlanggar ranting cemara yang gugur patah.

Kokok ayam rumah jiran awal pagi ini keras bunyinya. Saya bingkas dari ranjang, hampir 7.00 pagi!

Kamar Jiwa
Januari 20, 2009 (pagi 7.20)

Monday, January 19, 2009

Spende

.
Beberapa hari lepas, satu temuduga kenaikan pangkat telah dibuat oleh salah sebuah anak syarikat TNB. Sebagaimana biasa, ada ujian bertulis dan lisan. Dan antara ramai yang ditemuduga, ada tiga calon dari negeri keropok lekor terpilih untuk ditemuduga.

Kebetulan pula mereka ini calon ketiga pertama. Maka berdebar-debarlah ketiga-ketiga mereka. Calon pertama mula merungut, “Baru je sapa sini, letih dok ilang lagi, bale (bala) baru sapa pulok”.

Sampuk kawan yang kedua, “mapuh kite kalu lagu ni... aku doh kecuk perut ni.”

Yang ketiga menjawab dengan gaya berani, “Mung nok takut bende gok awang eh. Kalu die tanye, mung jawak je lah. Kalu mung dok tahu, mung bahang gi (lantaklah) la jawak bende pun. Janji mung jawak doh. Hok mung due ekor ni takut sangat bakpe, bukangnye tukang interbiuw tu nok makang mung! Acu mung tengok aku nih, rilek je. Siap buleh control macho lagi.”

Tiba masa yang ditunggu-tunggu, maka nama calon pertama pun dipanggil. Lima belas minit kemudian, dia pun keluar. Apa lagi, macam kera kena belacanlah kawan nombor dua bertanya soalan yang ditanya.

“Eh awang! Menatang bende tukang interbiuw tanye mung tadi?”

“Susoh jugok soalang die, tapi aku dok ingak doh bende yang die tanye tadi, tapi se (satu) je hok aku ingak die tanye... pengerusi TNB yang baru sape name? Aku pung jawaklah, Datuk Jamaluddin Jarjis.”

Kawan nombor dua pula menyampuk, “ah sudoh! Aku dok reti starang nok sebuk name tu. Guane nih awang? Aku rase nok tekecing doh ni. Ah! aku tulih di tangang je la, awang. Kalu die tanye, senang le sikit aku nok jawak.”

Maka menyampuklah kawan nombor tiga yang berlagak pandai berani, “bak pe yang mung jadi bodo sangak nih. Jangang tulih kat tangang, nati tukang interbiuw tu napok mung tulih situ. Mung tulih kat getoh spende (seluar dalam) mung tu. Kalu die tanye… mung selok la sikit spende mung tu, mung buat-buat la gatal kat perut. Pah tu mung kerling la sikit name pengerusi TNB tu.”

Apa lagi, calon nombor dua teramatlah gembira dengan idea bernas kawannya. Apabila namanya dipanggil, dia dengan yakin menuju bilik temuduga. Dua puluh minit berlalu, calon kedua tidak keluar-keluar. Calon ketiga panik. Nasib baik selepas lima minit kemudian, kawannya itu keluar dengan muka tersenyum.

Tidak sabar lagi, calon ketiga pun bertanya, “Amende soalang hok die tanye?”

“Susoh gok soalang die, tapi soalang pengerusi TNB tu aku buleh jawak... aku sempak selok spende aku.” Calon kedua menjelaskan dengan bangga.

“Tukang interbiuw dok napok aku selok tadi.” Sambungnya lagi. Dan calon nombor tiga pun bertambah panik.

“Ah sudohlah aku, awang!” Calon nombor tiga mula menampakkan wajah panik.

“Aku pong sebenornye dok tahu jugok nok sebuk name pengerusi TNB tu.” Jawab kawan nombor dua tadi.

“Mung tulih pade getoh spende mung tu, macang aku buat nih!” Dia menambah.

“Aku nok tulih macam mane, aku dok pakai spende!' Maka kelam kabutlah mereka bertiga.

Tiba-tiba kawan nombor satu yang dari tadi berdiam diri menyarankan. “Ape bende yang susoh sangat ni, awang. Mung beri je spende mung ke die kejap.”

Apa lagi, bergegaslah mereka ke tandas berdekatan. Beberapa minit selepas mereka kembali ke kerusi, nama calon nombor tiga dipanggil. Dengan semangat berkobar-kobar dan keyakinan yang amat tinggi, calon ketiga masuk ke dalam bilik temuduga. Namun tidak sampai sepuluh minit, dia keluar sambil menggaru-garu kepala, muka pula kehairanan.

Kawan-kawannya lagi kehairanan dan bertanya kenapa temuduganya cepat selesai, tidak seperti mereka berdua. Jawabnya, masa penemuduga tanya nama pengerusi TNB, dia jawab dengan yakin. Tetapi, semua penemuduga ketawa sampai keluar air mata dengan jawapannya itu.

“Mase ahli panel tanye name pengerusi TNB tu, ape mung jawak?” Kawan nombor satu bersuara.

Dan dengan yakin, sebagaimana yakinnya dia menjawab kepada para penemuduga dengan suara lantang dan bangga, “Datuk Calvin Klein”.

Kawan kedua heret kedua-dua rakan mereka ke tandas. Masa proses mengembalikan seluar dalam, barulah punca insiden diketahui. Mereka tepuk dahi. Kawan nombor tiga pakai seluar dalam terbalik, yang depan dipakai ke belakang, sedangkan nama pengerusi TNB ditulis pada getah bahagian depan seluar dalam.

“Nasib baik hari ni aku paka CK. Bengong mung, jenih belakang parang. Aku kok pale baru musing ketang sini!”

Kawan kedua membebel sambil pakai seluar dalamnya semula. Jenama CK ke belakang, Datuk Jamaluddin Jarjis di depan.

Wednesday, January 14, 2009

Menunggu Musim Semi

.
Tengkujuh singgah kembali
sukar berpisah dengan bantal dan ranjang kapas,
pemanas air di kamar mandi
dan pengering rambut menjadi akrab sekali.

Tengkujuh mengurungku dalam pondok sepi
mengikat seluruh anggota dengan akar kenangan
terbelenggu aku di tiang malam
menanti esok hari
untuk kukutip kembang pada awal musim semi.

Kamar Rindu
Januari 14, 2009 (pagi: 6.00)

Tuesday, January 13, 2009

We Will Not Go Down (Michael Heart)

.

A blinding flash of white light
Lit up the sky over Gaza tonight
People running for cover
Not knowing whether they’re dead or alive

They came with their tanks and their planes
With ravaging fiery flames
And nothing remains
Just a voice rising up in the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

Women and children alike
Murdered and massacred night after night
While the so-called leaders of countries afar
Debated on who’s wrong or right

But their powerless words were in vain
And the bombs fell down like acid rain
But through the tears and the blood and the pain
You can still hear that voice through the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight
.
Januari 13, 2009 (pagi: 5.25)

Jika Kau Bertanya Pada Mereka

.
Bila cinta sirna dan hilang makna
kekejaman menjarah buana
(Januari 13, 2009 - pagi: 3.51)

Jika kau bertanya pada laut
bilakah akan kering airnya
nanti jawab laut-
bila ombak henti bergelora.

Jika kau bertanya pada bayu
bilakah akan lenyap hembusannya
pasti jawab bayu-
bila diserang ribut melanda.

Jika kau bertanya pada purnama
bilakah akan hilang serinya
nanti jawab purnama-
bila mentari menebar sinarnya.

Andai pula kau bertanya pada dunia
bilakah akan sampai penghujungnya
pasti jawab dunia-
bila jejantung tak kenal Tuannya,
bila kasih henti berbunga.

Berita Harian, 7 Jun 2001

Sunday, January 11, 2009

Keindahan Azan

.

Setiap waktu, ribuan bilal di seluruh dunia akan mengumandangkan azan. Dimulai dari Indonesia yang terletak di bahagian timur dengan ratusan kepulauannya dan jumlah penduduknya lebih 200 juta. Ketika masuk waktu Subuh, azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan bilal yang akan mengumandangkan keagungan Allah S.W.T. dan Nabi Muhammad S.A.W. Proses ini akan bergerak ke arah barat kepulauan Indonesia.

Perbezaan waktu antara timur dan barat Indonesia adalah dua jam. Belum selesai laungan azan di seluruh Indonesia, azan subuh terdengar pula di Malaysia. Berikutnya di Burma dan dalam waktu satu jam selepas azan dikumandangkan diJakarta, tiba giliran Dhaka di Bangladesh. Seterusnya azan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar di barat India. Perbezaan waktu di kota-kota Pakistan adalah 40 minit, jadi dalam jangka waktu ini, azan akan berkumandang di seluruh Pakistan.

Belum berakhir di Pakistan, azan mulai terdengar pula di Afghanistan dan Muscat. Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa ini, azan akan terus dikumandangkan di UAE, Mekah, Madinah, Yaman, Kuwait dan Iraq. Proses ini berlangsung setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik.

Jarak waktu azan mulai dikumandangkan di Indonesia sampai ke pantai timur Atlantik adalah 9 1/2 jam. Belum selesai Azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, azan Zuhur kini sudah mula dikumandangkan di Indonesia . Ini berlangsung setiap waktu solat, tidak putus-putus. Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Yang Maha Pencipta! Kalaulah setiap kawasan boleh merakam giliran laungan azan ini, akan terdengar di bumi ini azan berkumandang tidak putus-putus. Subhanallah!

Permata Jiwa


Renungan matanya,
pengubat jiwa nan lara.

Cepatlah dewasa
permata jiwa.

Memilih syahid
atau hidup perkasa.
.
Padang Embun
Januari 11, 2009
(pagi: 11.49)

Cinta Setia

.
Ke mana hilangnya setia cinta,
pabila jiwa sudah terluka?
.
Inikah cinta setia
pabila ia ditukar menjadi angka?

Friday, January 09, 2009

Penjara Kaca

.
Benar katamu Umar
menjadi burung itu lebih baik bagiku
lepas bebas di angkasa.
.
Kataku jua
menjadi pipit yang kecil itu lebih bahagia
daripada menjadi helang di sangkar emas.

Dan katanya pula
diam-diamlah kau di penjara kaca
sebelum engkau kucabut nyawa!

Taman Pilu
Januari 9, 2009 (petang: 6.10)

Keabadian Tinta

"Orang boleh pandai
setinggi langit,
tapi selama ia tidak menulis,
ia akan hilang
di dalam masyarakat
dan dari sejarah...
Menulis adalah
bekerja untuk keabadian."
Pramoedya Ananta Toer,
Kotbah dari Jalan Hidup

Thursday, January 08, 2009

Prahara Nakbah Palestin

Langit Genting Gaza terpercik darah
Enam dekad berlalu merahnya masih menyalakan api amarah
Membakar kebun-kebun iman dengan nyalaan Salibiyyah
Meruntuhkan rumah-rumah, masjid dan dewan ibadah
Membina tembok pemisah gergasi terpanjang di dunia
Menobatkan Tebing Barat sebagai penjara terbesar di marcapada.

Hanya dengan tohmahan penyalahgunaan kawasan
Dijadikan masjid sasaran serangan
Mengesyaki pemimpin jihad bersembunyi
Dewan ibadat dibom pada muka hari hijri.

Wahai Zionis,
Sesungguhnya tembok yang kau hadangi
Tak dapat memisahkan ikatan imani
Bulatan persaudaraan seluruh jagat yang sama kiblat
Kukuh utuh dalam ikrar wahdah yang terpahat
Dalam semangat hijrah pejuang tak pernah kalah
Biarpun bedilan mortar Zionis tak kenal lelah
Ruh jihad Palestin membara dalam mata para pria
Doa wanitanya jadi api membakar makar.

Gema perjuangan sekian dekad tetap bertalu
Berkumandang di gegendang saudara sejagat merata buana
Desing peluru yang merobek kujur jasad warga
Tak mampu membunuh jiwa dan semangat seagama.

Nakbah ini tak akan lestari
Gharqad pasti layu di bumi Al-Ayyubi.


Rozais Al-Anamy
Padang Embun
Januari 2, 2009 (malam: 11.49)

Mingguan Malaysia, Januari 4, 2009

Wednesday, January 07, 2009

Pelan

.
Sebaik sampai ke pejabat, sepasang kekasih sedang menunggu saya dengan muka ceria. Apalagi kalau bukan kerana mahu buat tempahan kad perkahwinan. Seperti biasa, saya hulur borang untuk pelanggan catatkan butiran berkaitan. Dan seperti biasa juga saya akan minta mereka lakar pelan lokasi tempat kenduri di belakang borang.
.
Apabila tiba pada urusan lukis pelan, selalu saya tidak dapat tahan ketawa. Setiap kali minta mereka lukis pelan, slang saya pasti kena tukar dulu. Saya selalu akan kata, "Adik lukis pelan ke rumah adik di belakang tu, yang lelaki pun samalah." Saya akan tekankan perkataan "pelan" sebaik mungkin.
.
Seperti pasangan yang sebelumnya, mereka nampak macam pelik apabila saya tukar dialek untuk minta lukis pelan, sedangkan sebelumnya saya cakap loghat Kelate pekat. Setiap kali kata soal terpapar di wajah mereka, cepat-cepat pula saya tukar pelan jadi "plan".
.
"O, pele." Itu-itu jugalah sahutan mereka, yang membuatkan saya sengal telinga sejak sedekad lalu.
.
"Abe, kak ni suruh lukis pele. Abe lukislah pele abe alik belake bore tu." Waduh, macam mana ni!
.
Selalunya saya akan betulkan balik. "Lukis pelan." Dan mereka akan jawab, "ye lah, pele lah kan?"
.
Akhir sekali - "Lukih pelang di belakang borang! " Kan dah keluar loghat Terengganu.
.
"O, ore ayoh wang. Patut tok pehe." Tersengih-sengih menyiku sama sendiri.
.
Dan saya akan tanya mereka dalam nada gurauan, "habis yang cik abe awak punya panggil apa?"
.
"Pele jugok!" Tanpa malu dan segan.
.
Ya Allah! Saya tepuk dahi. Kami sama-sama ketawa.
.
Kisah yang serupa sering berlaku di mana-mana di Kelantan, terutama jika yang berurusan itu dari pihak berlainan negeri. Bagi sesama orang Kelantan, biasalah. Tapi bagi kami yang berhijrah ini, mahu terkejut beruk waktu kali pertama dengar perkataan serupa itu dituturkan sewenangnya.
.
Sebagai contoh , cerita yang berlaku di sebuah pejabat Majlis Perbandaran.
.
Kontraktor rumah: Ambo nok mitok keluluse buat rumoh, lagu mano gak caro dio?
Pegawai bangunan : Macam ni, mula-mula buat pele (pelan) dulu.
Kontraktor rumah: Pele?
Pegawai bangunan: Mmm (muka dah merah)
Kontraktor rumah : Pele? Ambo ado doh!
Pegawai bangunan : Mana? Kalau ada keluarkanlah, saya nak tengok.
Kontraktor rumah : Errrr! Tok leh! Tok Leh!
Pegawai bangunan: Kenapa, cepatlah keluarkan.
Kontraktor rumah : Kalu tok tengok tok leh ko?
Pegawai bangunan : Tak boleh. Kena tengok dulu baru boleh lulus. Macamana nak lulus kalau tak tunjuk.
Kontraktor rumah : Eh! Ambo ghoyat doh, ambo malu nok tunjok!
Pegawai bangunan : Malu apanya? Habis buat apa bawa kalau tak nak tunjuk?
Kontraktor rumah : Ehhh! malulah nok tunjok, pele ambo kecik!
Pegawai Bangunan : Laa! Kecil pun tak apa, kalau cukup syarat! Kalau tak tunjuk, macamana saya nak sain dan lulus?
Kontraktor rumah : Nok wat tubik nok tunjok kat mano? Oghe ramai ni! Malu ambo! Malu weh!
Pegawai bangunan : Laa, tak apa! Buat apa nak malu. Keluarkan dan letak atas meja kaunter ni pun boleh! Cepatlah! Saya ada mesyuarat sekejap lagi. Sibuk sekarang, encik kena faham lah.
Kontraktor rumah : Hoh! Ambo wak tubik doh ni ! Cepat la, tengok!
Pegawai bangunan : Laaa! (hampir sawan). Bukan yang ni!
Kontraktor rumah : Tu la! Ambo ghoyak doh tadi kee? Pele ambo kecik! Tapi demo nok tengok jugok!
Pegawai bangunan : Laaaaaa! Bukan pasal kecil besarnya! Maksud saya pelan bangunan.
Kontraktor rumah : La! Ambo ingat pele nie! Kalu pele bangune, ado la dale beg nie! Tok ghoyak pun pele bangune, mano ambo tahu!
Pegawai bangunan : Ingatkan dah faham! Yang selalu datang tak pernah pula jadi macam encik ni. Encik tinggal di mana?
Kontraktor rumah : Guo Muse!
.
Noble Art Creation
Januari 7, 2009

Monday, January 05, 2009

Pantai Rindu, Pondok Cinta

.
(Pantai Cahaya Bulan - Jumaat, Disember 26, 2008 (langit kelabu)
.
Kala titis hujan berjuraian di wajahku
sebatang pena resah menari
selembar kertas bunga kapas
bersatu menitip warkah rindu
dalam coretan yang basah.
Tinta yang tumpah dalam deru
terpercik ke sukmaku
birunya di jiwamu.

Bersama kita di pantai rasa
dalam alunan debur ombak bertingkah
suara hatimu dikirim bayu senja ke kalbuku
kau termangu di beranda menunggu jentayu
sambil menunggu sinar purnama
menyuluh kamar jiwa.

Lilin di sisimu separuh cair
semangkuk air dan kemboja di kaki katil
hampir hilang wanginya
dalam menantiku
“aku ingin berperi denganmu
seribu tahun lagi”

Kau menantiku di pondok cinta
bersama meniup liukan api rindu
sewaktu aku menyelitkan sekeping nota
di kaki camar yang pulang senja.

Kamar Rindu
Januari 5, 2008 (pagi: 12.47)

Katamu,
kau cuba menulis isi hati dalam hujan di bawah sebatang pokok.
hujan bersatu dengan titisan air matamu.
sukarnya menjelaskan bisikan jiwa dengan rangkaian bait puisi.

Kataku,
penyair yang hebat bukanlah dari keindahan bentuk,
kata, irama puisi dan syair yang ia ciptakan,
tetapi bagaimana ia membuat puisi itu hidup seperti hatinya.


WANITA, Jun 2010 

Saturday, January 03, 2009

Senja Temaram Di Pantai Kenangan

.
(Pantai Cahaya Bulan - Jumaat, Disember 26, 2008 (senja temaram)
.
Desir angin dari pantai
Pada senja temaram
Mengirai rambut kenangan
Di bahu ingatan

Berdua kita membicarakan laut
Perahu yang kesepian
Dan ombak yang diam

Aku ingin mengajakmu
Belayar dengan perahu
Menari di tengah lautan
Mungkin kita terdampar di teluk usang
Atau pulau tak bertuan

Lalu kita bina pondok
Beratap dedaun cinta
Berdindingkan bambu rindu

Sambil berperi tentang segara
Yang menyimpan gelombang
Dan ombaknya yang bila-bila masa
Melambung kita.

Kamar Rindu
Januari 3, 2009 (pagi: 2.35)

Thursday, January 01, 2009

Anggerik Putih dan Semalu

.
Januari 1, 2009, 02:12:13 am - "Salam hari keputerian kiranaku. Semoga bahagia di sini dan di sana. Maaf kerana hanya mampu berikan tak lebih daripada ucapan - Ikhlas daripada budak jahat."
.
Sms itu umpama anggerik putih kesukaan saya, sebagai balasan semalu yang saya titipkan pada hari lahirnya tiga purnama lalu.
.